Wednesday, December 2, 2009

BUKTI SAINTIFIK (7) ORBIT BULAN

ORBIT BULAN YANG BERBENTUK SEPERTI TANDAN KURMA YANG KERING
Allah berfirman dalam Surah Yasin, ayat 38,
"Dan bulan KAMI kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kembali semula seperti peringkat awalnya seumpama tandan kurma yang kering

Ayat di atas menerangkan fenomena bulan mengelilingi bumi dari awal hingga habis satu pusingan. Secara simbolik, Allah melambangkan peredaran bulan semasa mengorbit bumi bagaikan tandan kurma yang kering.
Menurut ahli sains, peredaran bulan semasa mengorbit bumi adalah berbeza dengan planet-planet lain yang bergerak dalam garis yang selari semasa mengorbit matahari. Semasa mengorbit bumi, bulan beredar dalam keadaan turun-naik atau berbentuk "S" seperti yang ditunjukkan melalui gambar di bawah.






Mari kita perhatikan bentuk tangkai kurma di bawah;


Lebih 1400 tahun yang lalu, pengetahuan manusia tentang angkasa lepas amat terhad. Malah alat-alat canggih yang membolehkan manusia mengetahui apa yang berlaku di angkasa lepas belum lagi tercipta. Namun Al Quran dengan beraninya mengatakan bahawa orbit bulan berbentuk seperti tangkai kurma. Siapakah yang dapat melihat orbit bulan ketika itu?
Dua perkara penting dinyatakan oleh Al Quran iaitu PERTAMA bulan mempunyai orbitnya sendiri dan KEDUA, peredaran bulan berbentuk "S".
Al Quran mendahului zaman. Apa yang dikatakan oleh Al Quran itu telah dibuktikan secara saintifik oleh sains moden pada hari ini!!






Tuesday, December 1, 2009

Bukti Saintifik (6) Air Laut yang Tidak Bercampur

AIR LAUT YANG TIDAK BERCAMPUR ANTARA SATU SAMA LAIN
Firman Allah dalam surah Al Rahman ayat 19-20 yang bermaksud:

"DIA membiarkan dua lautan mengalir yang kemudiannya kedua-duanya bertemu. Antara kedua-duanya ada batas/sempadan yang tidak dilampaui antara satu sama lain.
Ayat yang diperturunkan kepada Nabi Muhammad lebih 1400 tahun yang lalu ini menceritakan tentang fenomena lautan. Menurut ayat tersebut, apabila sesebuah lautan dengan lautan yang lain bertemu, airnya tidak bercampur dan terpisah bagaikan ada dinding atau penghalang antara kedua-duanya.


Ayat di atas menimbulkan persoalan penting. Nabi Muhammad dilahir, dibesar dan menghabiskan seluruh hidupnya di padang pasir yang amat mencabar. Tidak pernah dalam kehidupannya, baginda diriwayatkan belayar dan meneroka lautan. Sebagai orang yang hidup di padang pasir, pengetahuan dan pengalaman tentang geografi kelautan tentunya tidak dipunyai oleh Rasulullah.


Adalah aneh Rasulullah yang tidak berlatarbelakangkan ahli pelayaran dan kelautan diperintah untuk menyampaikan ayat tersebut kepada umatnya pada masa itu yang tidak pernah hidup di tepi laut dan jauh sekali menjadikan laut sebagai sumber ekonomi mereka. Mengapakah demikian?



Pada tahun 1962, sekumpulan ahli saintis Jerman telah membuat penyelidikan di Bab al Mandeb iaitu di Teluk Aden yang menjadi tempat pertemuan antara Laut Merah dengan Laut Hindi. Mereka telah menemui satu fakta saintifik bahawa air dari Laut Merah tidak bercampur dengan air dari Laut Hindi.



Penemuan saintis Jerman itu telah mendorong seorang ahli pelayaran dan kelautan yang masyhur iaitu Jacques Costeau untuk menyelidik hal yang sama tetapi di laut yang berbeza iaitu di Laut Mediterranean dan Laut Atlantik yang bersempadan di Selat Gibraltar. Beliau telah mengambil sampel air di tempat pertemuan kedua-dua laut itu dan mendapati air laut tersebut tidak bercampur antara satu sama lain disebabkan oleh darjah kemasinan, suhu dan lain-lain yang berbeza.



Dua eksperiman saintifik tersebut dijalankan pada abad ke-20 dan menyokong kebenaran ayat di atas yang diturunkan pada abad ke -7. Lebih 1400 tahun rahsia ayat tersebut tersimpan rapi sebelum dapat dibuktikan oleh orang bukan muslim. Jacques Costeau menulis dalam catatannya " I long rested on laurels at this suprising phenomenon which is not explained by laws of physics and chemistry".



Beliau seterusnya merujuk penemuan tersebut kepada Profesor Dr. Maurice Bucaille. Prof Dr. Baurice memberitahu beliau tidak terkejut dengan penemuan tersebut kerana segalanya telah diterangkan dengan jelas dalam al Quran lebih 1400 tahun yang lalu.



Jacques Costeau meninggal dunia di Paris pada tahun 1997 dan dilaporkan memeluk Islam sebelum kematiannya walaupun dinafikan oleh pihak-pihak tertentu. Kita serahkan kepada Allah tentang hal itu. Namun yang penting ialah Jacques Costeau telah dizinkan oleh Allah untuk membuktikan secara saintifik rahsia ayat di atas. Ternyata Al Quran adalah benar. Marilah kita terus mengaji dan mengkaji Al Quran!

Sunday, November 22, 2009

Bukti Saintifik Dalam AlQuran (5) Janji Allah Yang Benar

Janji Allah Yang Benar
Firman Allah;
"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama. Harta dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya.Dia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.Dan juga isterinya seorang pemunggah kayu api. Dilehernya sejenis tali; tali yang dipintal". ( Surah al Masad)
Ayat di atas menceritakan janji Allah bahawa Abu Lahab akan menerima siksaan yang amat pedih dalam api neraka angkara perbuatannya yang menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
Abu Lahab walaupun berstatus sebagai bapa saudara nabi tetapi tidak pernah beriman kepada Allah. Lebih dari itu, Abu Lahab sentiasa mencari jalan untuk menyakiti Rasulullah. Antaranya ialah dia berpura-pura sakit dan meminta Rasulullah menziarahinya. Sebelum itu dia telah menggali lubang yang ditutup dengan pelepah tamar agar Rasulullah terjatuh ke dalamnya apabila Rasulullah pergi ke rumahnya untuk menziarahinya yang kononnya sakit. Namun, Allah mengutuskan Jibril yang memaklumkan Rasulullah tentang niat jahat Abu Lahab yang memasang perangkap tersebut. Rasulullah lalu berpatah balik dan terselamat daripada niat jahat Abu Lahab.
Kejahatan dan kekufuran Abu Lahab diabadikan oleh Allah dalam surah di atas. Sesuatu yang perlu kita ketahui ialah ayat di atas telah diturunkan 10 tahun sebelum kematian Abu Lahab. Melalui ayat di atas, Allah telah memberi jaminan bahawa Abu Lahab akan mati dalam kufur dan akan disiksa di neraka.
10 tahun merupakan jangka masa yang lama untuk seseorang itu berubah. Namun ternyata Abu Lahab tidak berubah sebaliknya tetap memusuhi Rasulullah dan Islam. Akhirnya Abu Lahab mati dalam keadaan kufur sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah 10 tahun sebelum kematiannya. Ternyata janji Allah adalah haq dan benar!

Friday, November 13, 2009

Bukti Saintifik Dalam AlQuran (4) Janji Allah Yang Benar

JANJI ALLAH YANG BENAR

3000 tahun yang lalu, Firaun telah mengejar nabi Musa alaihissalam dengan ribuan konco-konconya dengan satu matlamat iaitu menghapuskan nabi Musa dari muka bumi ini. Nabi Musa dan pengikutnya diperintahkan oleh Allah supaya lari dari bumi Mesir dan menyeberangi Laut Merah. Nabi Musa diarah oleh Allah agar memukul air laut Merah dengan tongkatnya hingga laut terbelah dua seumpama lorong di tengah lautan yang luas. Keadaan ini membolehkan nabi Musa dan pengikutnya menyeberangi lautan tersebut. Firaun terus mengejar nabi Musa tetapi apabila Firaun tiba di tengah laut tersebut, air laut mula bercantum kembali. Firaun dan pengikutnya tidak dapat berpatah balik. sebaliknya Firaun mula tenggelam sedikit demi sedikit. Menyedari dirinya akan mati, Firaun mula mengucap dan mengaku bahawa Tuhannya ialah Tuhan yang disembah oleh Nabi Musa. Namun segala-galanya sudah terlambat. Allah tidak menerima taubat Firaun. Firaun mati dalam keadaan kufur kepada Allah. Lebih 1400 tahun yang lalu Allah menceritakan kisah Firaun yang kufur itu kepada Nabi Muhamad s.a.w.. Dalam surah Yunus ayat 90-92 Allah menegaskan,

"Dan kami membenarkan Bani Israel melintas laut lalu dikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana hendak menganiaya dan menindas mereka, hinggalah bila Firaun itu hampir tenggelam berkatalah ia; Sesungguhnya aku percaya bahawa tiadaTuhan melainkan Tuhan yang disembah oleh Bani Israel dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah) Apakah sekarang kamu baru percaya , padahal kamu telah derhaka sejak dahulu dan kamu termasuk orang-orang yang membuat kerosakan, Maka pada hari ini kami selamatkan badanmu supaya kamu menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesunguhnya kebanyakan manusia itu lengah-lengah dari tanda kekuasaan kami".

Jasad Firaun yang mati lemas itu dijumpai oleh pengikutnya lalu disemadikan di suatu tempat rahsia. Selama lebih 30 abad, jasad Firaun bersemadi di Lembah Raja-raja dengan penuh kerahsiaan tanpa sesiapapun mengetahuinya.

Tanggal 16 Julai 1879. ekspedisi bersama yang dilakukan oleh ahli arkeologi Mesir dan Jerman setelah berjaya memecahkan kod rahsia dan huruf kuno Mesir purba, akhirnya menemui satu lubang sempit yang berliku-liku yang membawa mereka ke ruang yang besar dan menempatkan puluhan mumia termasuklah mumia yang dikenali sebagai Ramses 11 atau Firaun yang mengejar nabi Musa lebih kurang 3ooo tahun yang lalu. Penemuan ini dinobatkan sebagai penemuan sejarah yang terbesar pada abad 19.

Melalui data-data yang dikutip dari kod-kod rahsia, kajian sejarah Mesir dan ujian saintifik yang dilakukan ke atas mayat Ramses 11 mengesahkan bahawa itulah manusia laknat seperti yang disebutkan oleh Allah dalam surah Yunus di atas. Seorang pakar bedah Perancis iaitu Prof Dr Maurice Bucaille adalah antara orang terawal yang membuat bedah siasat ke atas mayat Firaun itu. Beliau dan rakan-rakannya dengan bukti-bukti saintifik memperakukan bahawa itulah mayat Firaun yang mengejar nabi Musa alaihissalam.

30oo tahun lamanya jasad Firaun tersimpan dengan penuh rahsia. Namun janji Allah adalah haq dan benar! Allah membenarkan mayat Firaun dijumpai kerana itulah janji-Nya. Allah juga membenarkan mayatnya dalam keadaan sempurna tanpa dimamah masa yang begitu lama.Hari ini mayat Firaun tersimpan dan dipamerkan untuk tontonan umum di Muzium Cairo di Mesir. Sesungguhnya benarlah janji Allah dalam surah Yunus bahawa Allah akan menyelamatkan badan Firaun untuk menjadi pelajaran , renungan, peringatan, bukti dan pengajaran bagi kaum - kaum yang selepasnya (kitalah tu..)

Rasulullah dan para sahabat tidak berkesempatan melihat wajah Firaun tetapi kita umat akhir zaman diiznkan oleh Allah untuk melihatnya. Tentu sekali keizinan Allah itu bukan sesuatu yang percuma tetapi mengandungi mesej dan hikmah yang perlu direnungi.

Maka sesungguhnya Al Quran itu adalah sesuatu yang benar dan marilah kita menginsafinya dengan mengaji dan mengkaji al Quran.





Saturday, November 7, 2009

DENGARLAH GETARANNYA,HAYATILAH PENGERTIANNYA DAN YAKINLAH KITA KIAN MENGHAMPIRINYA.

Di celah-celah kesibukan kehidupan, ada baiknya kita menguzlahkan ( mengasingkan ) diri sekejap untuk melihat, merenungi dan memikirkan destinasi akhir setiap anak Adam yang bergelar insan.


Walau siapa kita sekalipun, sesungguhnya setiap detik yang berlalu semakin menghampirkan kita kepada detik yang dijanjikan itu. Percayalah, semakin banyak kita mengingati detik itu, nescaya semakin menjadikan kita insan yang memahami setiap pertanggungjawaban yang terpikul di bahu kita sebagai seorang anak, suami, isteri, pekerja dan hamba kepada Yang Esa.


Inilah transit yang akan kita lalui sebelum kita berlabuh di pelabuhan yang abadi. Rasailah getaran alunannya dan mengertilah akan bai'ah yang dijanjikan kepada setiap insan.
Lihatlah berkali-kali dan hayati kesedihannya, mudah-mudahan kita akan memahaminya. BERTASBIHLAH DENGAN NAMA TUHANMU YANG MEMERINTAH SEKALIAN ALAM.



Wednesday, October 21, 2009

Labbaikallaahummalabbaik labbaikalaa syariikala kalabbaik

Musim haji datang lagi untuk kesekian kalinya sejak nabi Allah Ibrahim diperintah oleh Allah untuk menyeru umat manusia agar menunaikan haji. Sejak itu jutaan umat islam menyahut panggilan nabi Ibrahim untuk menunaikan haji. Terima kasih kepadamu ya Allah kerana membenarkan aku menyahut seruan nabi Ibrahim walaupun seruan itu dilafazkan ribuan tahun yang lalu.

Tanggal 28 November 2007, di malam yang dingin, aku menyusuri anak tangga Masjidil Haram menuju Baitullah diiringi getaran dan debaran yang bergelora di kalbu. Aku bagaikan bermimpi di hadapanku adalah kiblat yang kurindu selama ini. Air mataku mula luruh. Kusujud kepada-Nya dengan nurani yang kerdil.

Hari ini hatiku sering bertanya mengapa kita masih menangguh-nangguhkan urusan menunaikan fardu haji. Aku berasa tersentuh dan kecewa apabila ada orang berkata nanti tua atau pencen baru akan ke Mekah. Siapakah kita yang dapat memberi jaminan tentang usia kita? Hatiku tersentuh dan kecewa apabila ada orang berkata belum cukup wang untuk menunaikan haji. Tidak cukupkah lagi nikmat wang yang Allah beri kepada kita hingga kita mampu memiliki apa yang kita ingini? Hatiku bertambah-tambah sedih dan kecewa jika ada yang berpendirian mennaikan haji adalah agenda terakhir dalam hidup mereka. Pemahaman apakah yang membelenggu minda kita?

Kiblatmu.....
Tidakkah kau rindu padanya dan ingin meihatnya?

Baitullah....
Tidakkah kau ingin qiyam, ruku' dan bersujud di depannya?

Keislamanmu....
Tidakkah terfikir untuk menyempurnakannya?

Rasulullah.......
Tidakkah ada sedetik rasa untuk menziarahi orang yang kau selawatkan saban hari dan mengucapkan salam kepadanya?

Bukit Uhud....
Tidakkah kau ingin menjadi saksi pengorbanan para sahabat?

Jiwamu....
Tidakkah kau ingin sucikannya?

Imanmu....
Tidakkah kau ingin teguhkannya?

Pergilah...
Pergilah...
Pergilah...

Tunaikanlah haji....
Allah didahulukan
Keimanan diutamakan

Tunaikanlah haji...
Insya Allah engkau akan memahaminya!

Kepada bakal-bakal haji, selamat berangkat dan semoga mendapat haji yang mabrur kerana "Tiada Balasan Bagi Haji Yang Mabrur Kecuali Syurga"

Tuesday, October 6, 2009

Pesan Kepada Rakan

Jika mendung menutupi hari
Pasti gerimis sedang menanti
Itulah kehidupan duniawi
Tidak mampu kita jauhi
Hanya kesabaran membenteng diri
Ingatlah kita adalah hamba-Nya
Yang tiada terdaya menolaknya
Qudrat dan Iradat-Nya
Melangkaui kemahuan insani

Air mata hanyalah kesedihan
Tidak mengapa kalau ditumpahkan
Biar pahit untuk ditelan
Tetapi itulah hakikat pengembaraan
Qadha dan qadar ketetapan Tuhan
Kata Tuhan dalam Quran
: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan." (Surah Al-Ankabut: ayat 2)


Segala musibah adalah pengajaran
Menguji darjat keimanan
Kita tertanya di dalam diam
Mengapa kita menjadi pilihan
Apa salah apa kesilapan
Hingga terseksa seluruh ikatan

Cuma pesanku kepada rakan
Meski bahumu berat menggalas
Meski sedihmu tidak menghilang
Ketahuilah bahawa di hujung perjalanan
pasti ada garis kemenangan
Pesan Tuhan dalam ALQURAN
SESUNGGUHNYA BERSAMA-SAMA SUSAH ITU ADA KESENANGAN
SESUNGGUHNYA BERSAMA-SAMA SUSAH ITU ADA KESENANGAN

Pesanku kepada rakan
Inilah ketika melihat ke dalam
Renung dan fikir ke arah keinsanan
Susuri diri melihat ke belakang
Ambil pedoman menjernih perjalanan
Semoga hidup diberkati Tuhan

Pesanku kepada rakan
Ini bukan hujung perjalanan
Masih ada kerdipan bintang di malam kelam
Masih ada purnama bulan menghiasi malam
Masih ada matahari di pagi hari
Bersyukurlah kepada Tuhan
Kerana pesan Tuhan dalam Quran
KALAU KAMU BERSYUKUR, PASTI AKU TAMBAHKAN NIKMATKU KEPADAMU
TETAPI JIKA KAU KUFUR, INGATLAH AZABKU AMATLAH PEDIH.

Pesanku kepada rakan
Seperti kata orang lain
Bersabarlah…..berusahalah…..berdoalah
Semoga mendung segera berakhir
Menyerlahkan kembali mahligaimu
Seperti dahulu…
Amin.