Sunday, September 13, 2009

Bukti Saintifik Dalam AlQuran (3) - Cap jari manusia yang tidak sama.


Allah berfirman dalam surah alQiyamah yang bermaksud
" Adakah manusia mengira bahawa kami tidak akan mengumpulkan kembali tulang belulang mereka. Bukan demikian, kami mampu menyusun jari jemari
mereka dengan sempurna"
( ayat 3-4, AlQiyamah)



Ayat ini diturunkan oleh Allah tatkala baginda Rasulullah didatangi oleh orang kafir yang mempersoalkan tidak mungkin Allah mampu menghidupkan semula orang yang mati lantaran mayat mereka yang hancur lebur. Bagi mereka, tidak mungkin Allah dapat mengenali dan mencantum kembali anggota orang yang telah mati mengikut tuan punya anggota masing-masing. Lalu Allah menjawab bahawa Allah berkuasa menghidupkan mereka semua dan mampu menyusun kembali jari mereka dengan sempurna( yakni dapat mengumpul semula anggota badan manusia mengikut tuan punya masing-masing)


Istilah yang perlu ditekankan ialah jari-jemari mereka. Persoalannya ialah mengapakah Allah mengambil anggota manusia yang kecil iaitu jari? Mengapa Allah tidak menggunakan anggota yang lain seperti muka, kepala, kaki dan lain-lain? Apakah keistimewaan jari sehingga Allah mengambilnya sebagai perbandingan? Semua ini adalah berkaitan dengan pengenalan atau identiti manusia yang tidak sama sejak nabi Adam Alaihissalam hinggalah akhir zaman nanti. Identiti berbilion-bilion manusia dapat dibezakan hanya melalui hujung ibu jari yang kecil!


Rahsia keunikan jari manusia tersimpan begitu lama melangkaui seribu tahun lebih. Sehinggalah pada tahun 1880, rahsia jari telah terbongkar oleh Sir Francis Golt. Beliau mendapati bahawa garisan ibu jari manusia tidak sama. Sejak itu, pihak polis Scotland Yard telah mula menggunakan cap jari untuk mengesan penjenayah. Ketepatan cap jari manusia untuk mengesan identiti seseorang akhirnya menjadikan semua urusan dokumentasi manusia disahkan melalui cap jari.


Walaupun ada usaha menjadikan retina mata seseorang untuk tujuan pengenalan seseorang individu tetapi masih ada kelemahannya. Retina mata walaupun kebanyakan kes berbeza antara manusia, tetapi gagal dalam membezakan kes kembar seiras yang retina matanya adalah sama. Oleh sebab itulah Allah tidak menggunakan mata atau anggota yang lain sebagai perbandingan tetapi mengambil jari sebagai perbandingan yang tepat.

Sains hanya menemukan keunikan ini pada zaman moden ini tetapi semua ini telah dijelaskan oleh Allah pada abad yang ke- 7 lagi tatkala Al Quran diturunkan. Allah mengetahui segala sesuatu kerana dialah Pencipta Yang Maha Agung!




Friday, September 4, 2009

Rileks Sekejap dan Ziarahi Rumah Allah

Lihatlah Tanda Kekuasaan Ilahi

Allah memperlihatkan tanda-tanda kewujudan-Nya dalam pelbagai medium. Semua ini adalah untuk mengajak manusia berfikir dan merenungi kekuasaan-Nya.