Monday, August 31, 2009

BUKTI SAINTIFIK DALAM ALQURAN (2)- Asal usul besi

Dalam surah AlHadid, Allah berfirman " Dan kami turunkan besi yang di dalamnya mempunyai kekuatan yang amat dahsyat dan memberi manfaat untuk manusia"


Ayat ini diturunkan kepada Rasullullah untuk menerangkan penciptaan dan asal usul besi. Sayugia diingatkan kata kunci bagi ayat ini ialah istilah kami turunkan.

Mengikut pakar=pakar sains, keadaan fizikal bumi tidak mampu menghasilkan besi. Penciptaan besi memerlukan darjah kepanasan yang amat melampau. Malah matahari yang kepanasan permukaannya 6000 darjah celcius dan 20 juta darjah celcius kepanasan di terasnya, masih tidak mampu untuk memproses dan menghasilkan logam berat seperti besi ini.

Suhu bumi jauh lebih rendah daripada matahari dan sudah tentu tidak mampu menghasilkan besi. Ahli sains percaya besi berasal dari bintang yang mempunyai saiz yang bekali-kali ganda lebih besar dan darjah kepanasan yang beribu-ribu kali ganda daripada matahari.

Berbilion tahun yang lalu, melalui proses evolusi, bintang-bintang itu akan meletup (dying star) dan akan menebarkan besi ke seluruh cakerawala. Ketulan besi akan bertaburan di angkasa lepas dan akan ditarik oleh graviti bumi. Melalui tempoh yang cukup lama, ketulan-ketulan besi yang ditarik itu akan membentuk teras bumi.


Perkara yang menarik di sini ialah besi tidak dihasilkan di bumi. Ayat alQuran di atas dengan yakin menegaskan besi diturunkan atau dihantar dari suatu tempat yang lain. Hal ini jelas sekali kerana Allah menggunakan istilah "anzalna = kami turunkan. Lazimnya Allah menggunakan "jaalna atau kholaqna = kami jadikan.

Selalunya Allah menggunakan kedua-dua istilah tersebut apabila membicarakan penciptaan manusia, langit, bumi dan sebagainya. Namun dalam kes penciptaan besi, Allah gunakan istilah "anzalna"= kami turunkan untuk menunjukkan bagaimana Allah ciptakan besi di tempat yang lain dan lebih tinggi lalu dihantar ke bumi. Perkataan anzalna juga selalu digunakan oleh alQuran apabila membicarakan penciptaan air hujan( wa anzalna lma' u mina ssama'i = Dan kami turunkan air hujan dari langit )


Inilah yang dinyatakan dalam alQuran lebih 1400 tahun yang lalu tatkala pada masa itu pengetahuan tentang alam terlalu cetek. Namun hanya pada zaman moden ini, ahli=ahli sains dapat merungkai persoalan tentang kewujudan besi di bumi walhal AlQuran telah meceritan hal ini lebih 1400 tahun yang lalu. Subhanallah!



video



BUKTI SAINTIFIK DALAM ALQURAN (1) - Red Rose Nebula

Dalam surah AlRahman, Allah berfiman " Apabila meletup langit, maka jadilah ia seperti bunga mawar yang berkilau-kilauan"

Ayat ini membicarakan soal astronomi yakni aktiviti bintang-bintang yang berlaku di angkasa lepas yang jauhnya berjuta-juta kilometer dari bumi. Ayat ini diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad saw lebih dari 1400 tahun yang lalu yang pada zamannya manusia tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang angkasa lepas.
Apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah kepada para sahabat, mereka terus mempercayai dan meyakininya lantaran keimanan yang jitu walaupun mereka tidak dapat melihat dengan mata mereka apa yang dimaksudkan melalui ayat di atas.


Sayugia diingatkan bahawa ayat ini diturunkan pada era yang manusia tidak mempunyai peralatan dan teknologi untuk mencerap angkasa lepas. Malah alat pencerap bintang yang utama iaitu teleskop hanya dicipta pada abad ke -17.

Maksud dan makna yang tersirat dalam ayat ini kekal menjadi misteri selama lebih 1400 tahun. Sehinggalah pada tahun 1994 teleskop Hubble kepunyaan Agensi Angkasa Lepas Amerika yang letaknya 560 kilometer dari bumi dan terapung-apung di atas sana telah mencerap dan mengambil satu imej aktiviti letupan bintang atau nebula yang berlaku. Letupan yang berlaku itu adalah satu proses lumrah bintang-bintang yang apabila mencapai tahap tertentu akan meletup (dying star) dan letupan ini dipanggil nebula. Agak menghairankan nebula yang berlaku di buruj utara bintang Draco dan diberi kod sebagai NGC 6543 oleh NASA itu menghasilkan satu letupan yang imejnya benar-benar menyerupai bunga mawar yang berkembang dan berkilau-kilauan seperti yang dinyatakan oleh alQuran 1400 tahun yang lalu.





Nebula ini yang dipanggil Red Rose Nebula atau Cats EYe Nebula ini adalah satu rekod yag berbentuk visual bagi evolusi bintang.


Pakar-pakar astonomi menganggarkan bahawa letupan bintang ini berlaku lebih daripada 1000 tahun yang lalu dan jaraknya dari bumi ialah sejauh 3000 tahun cahaya.


Oleh sebab jaraknya yang terlalu jauh dari bumi, hanya pada tahun 1994, cahaya letupan yang berlaku itu dapat dicerap oleh teleskop Hubble walaupun letupan bintang itu dianggarkan berlaku 1000 tahun yang lalu.
Perkara yang perlu kita fikirkan di sini ialah kaitan imej ini dengan ayat alQuran di atas. Bagaimanakah alQuran dapat memberikan gambaran yang jelas tentang apa yang berlaku di angkasa lepas sana yang jaraknya beribu-ribu tahun cahaya?


Lihatlah selepas ribuan tahun bagaimana ayat alQuran akhirnya dibuktikan secara saintifik melalui alatan dan teknologi yang canggih yang hanya terdapat pada zaman moden ini.


Ternyata alQuran bukan kitab tua yang ketinggalan zaman. AlQuran adalah Kalam Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Ayuhlah teman semua, kita kembali menghormati alQuran dengan membacanya, mengkaji dan beramal dengannya. Selamat mengaji dan mengkaji!




Saturday, August 29, 2009

Bersyukurlah Dengan Apa Yang Kita Miliki

Manusia dilahirkan berbeza. Perbezaan itu menjadikan ada manusia yang tinggi darjatnya dan ada pula yang sebaliknya. Perbezaan itu sebenarnya pelengkap kepada kehidupan manusia. Jari manusia tidak sama panjangnya, Ketidaksamaan itu membolehkan kita menulis, memegang, mencengkam dan melakukan apa sahaja. Kita pasti mengalami kesukaran untuk melakukan semua itu jika jari kita sama panjang kesemuanya. Demikianlan perbandingan bahawa kehidupan kita tidak akan pernah sama.

Oleh yang demikian , bersyukurlah sentiasa kerana ......
  1. Kita masih diberi ksempatan untuk menikmati kehidupan tatkala rakan kita yang lain sudah pun pergi meninggalkan kita.
  2. Kita masih diberi nikmat kesihatan. Berkunjunglah ke hospital dan kita akan menyedari betapa besarnya nikmat kesihatan yang diberikan Allah kepada kita.
  3. Rezeki yang kita peroleh membolehkan kita menikmati kehidupan dengan baik. Bayangkan jika kita hanya bergaji kecil dan tidak mampu menampung makan pakai kita dan keluarga kita.
  4. Kita masih mempunyai pancaindera yang lengkap dan sempurna sejak dulu hingga sekarang. Bayangkan bagaimana sukarnya kehidupan kita jika kita kehilangannya. Bayangkan bagaimana sukarnya kehidupan mereka yang tidak sempurna seperti kita.

Firman Allah dalam al Quran " JIKA KAMU CUBA MENGHITUNG NIKMAT YANG AKU BERIKAN KEPADAMU, NESCAYA KAMU TIDAK AKAN MAMPU MENGHITUNGNYA"

video

Maka marilah kita semua sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah atas kurniaan yang terlalu banyak kepada kita. Marilah kita memeriksa diri kita benarkah kita menjadi orang yang bersyukur.

  • Dalam sehari, berapa kalikah kita melafazkan syukur kepada Allah dengan penuh keinsafan sebagai tanda terima kasih kita atas nikmat-Nya yang tidak terhingga?
  • Adakah kita memperuntukkkan suatu nisbah peruntukan daripada gaji kita setiap bulan kita untuk kita sedekahkan kepada anak-anak yatim, atau orang miskin atau mereka yang kesusahan?
  • Adakah kita berusaha menjadi insan yang baik kepada masyarakat, orgasisasi dan hamba yang soleh kepada Allah dengan berfikir dan berusaha untuk meningkatkan amalan kita?

Bersukurlah dan berterima kasihlah kepada Allah selagi masih ada kesempatan untuk berbuat demikian. Wassalam.

BENARKAH KITA MENCINTAI ALQURAN?

AlQuran diturunkan selama 22 tahun 2 bulan dan 22 hari. AlQuran adalah Kalam Allah dan bukannya sebuah buku biasa. Mengapa alQuran diturunkan? Tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai "HUDA" atau petunjuk untuk seluruh umat manusia selagi ada kehidupan di atas dunia ini. Marilah kita memeriksa diri kita secara jujur dimanakah nilai alQuran dalam kehidupan kita. Di dakam almari yang indah sebagai perhiasan...., atau di suatu penjuru tempat sembahyang kita supaya mudah kita capai untuk membacanya. Marilah kita berefleksi ..., mudah-mudahan ia memberi pedoman kepada kita yang sering alpa dalam kesibukan duniawi.




Renung dan jawablah secara jujur

Berapakah umur kalian kini? Sehingga ini berapa kalikah kalian khatam Al Quran? Adakah nisbah umur yang kalian tinggalkan itu berpadanan dengan jumlah khatam alQuran? Sungguh lama usia yang kita tinggalkan tetapi sungguh sedikit nisbah kita membaca al Quran. Alangkah rendahnya pandangan kita terhadap Kalam Allah hingga kita tidak teringin untuk mendampinginya setiap hari. Soalanku....,
sehingga umur kalian kini, berapa kalikah alQuran kalian khatamkan?



Jika kalian mencintai seseorang, kalian pasti merinduinya. Kalian pasti akan mengucupnya apabila berjumpa, atau apabila kalianakan meninggalkannya. Tanyaku padamu..., berapa kalikah kalian mengucup al Quran dalam sehari sebagai tanda hormat dan kasihmu kepadanya?



Setiap daripada kita mempunyai citia-cita dalam kehidupan. Kita bercita-cita ingin memiliki beberapa buah kereta. Kita bercita-cita ingin memiliki beberapa buah rumah. Kita menetapkan sasaran berapakah jumlah wang kita sebelum kita mati. Tanyaku.., adakah kalian menetapkan sasaran berapa kalikah kita perlu khatam alQuran sebelum mati? Atau kita langsung tidak berfikir untuk menetapkan jumlah tertentu khatam alQuran sebelum dipanggil Ilahi?



AlQuran diturunkan dalam bahasa Arab dan sudah tentu kita tidak memahami maksudnya. Pernahkah kalian terfikir sebelum kita mati kita akan berusaha memahami maksud keseluruhan alQuran walaupun sekali. Atau kita menganggapnya tidak penting dan tidak ada rasa ingin tahu apakah yang dituturkan oleh Allah untuk kita?



Kalian lihat di mana-mana orang sibuk bertadarus alQuran pada bulan Ramadan. Malang sekali mereka terlupa Ramadan hanyalah satu bulan daripada 12 bulan. Wajarkah kita meninggalkan 11 bulan yang lain tanpa membaca alQuran. Wajarkah kita menjadikan alQuran sebagai sesuatu yang bermusim?



Tulisanku ini hanyalah sekadar untuk mengingati sesama kita agar memahami status alQuranulkarim. AlQuran bukan bahan murahan yang hanya dijadikan mas kahwin perkahwinan, atau dijadikan tangkal azimat atau hanya dibaca tatkala berlaku kematian. Sesungguhnya alQuran itu adalah petunjuk dan rahmat Allah kepada kita semua. Marilah kita memberikan penghormatan kepda alQuran dengan membacanya setiap hari walaupun sekadar satu ayat. Marilah kita menyayangi alQuran dengan menciumnya selepas setiap kali sembahyang. Marilah kita bertadbbur dengan alQuran dengan membacanya, memahaminya, mengkajinya dan beramal dengannya. Mudah-mudahan AlQuran akan membimbing kita melayari kehidupan yang fana ini ke jalan yang mustaqim. Akhir kata bacalah sajak ini dan hayatilah maksudnya.


Apabila AlQuran Mula Bersuara


Waktu engkau masih kanak-kanak...


engkau laksana kawan sejatiku


dengan wudhuk aku kau sentuh dalam keadaan suci...,


aku kau pegang..


aku kau junjung dan pelajari..


aku kau baca dengan suara lirih dan keras setiap hari


setelah selesai engkau menciumku mesra


sekarang engkau telah dewasa...


nampaknya engkau tidak berminat lagi padaku..


apakah aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah..


menurutmu.. aku mungkin bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu..


atau menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji..


sekarang.., aku tersimpan rapi sekali sehingga kau terlupa di mana aku tersimpan


aku hanya kau anggap sebagi pengisi stormu


kadangkala aku dijadikan mas kahwin agar engkau dianggap bertakwa


atau aku kau buat penakal untuk menakutkan iblis dan syaitan


kini aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian,


kesepian


di dalam almari.., di dalam laci aku engkau pendamkan..


waktupun cepat berlalu


aku semakin kusam dalam lacimu


mengumpul debu atau mungkin dimakan hama


sekarang engkau begitu enteng membuang waktu


setiap saat berlalu


dan akhirnya


kubur yang setia menunggumu


engkau pasti kembali menemui Tuihanmu


jika aku kau baca selalu dan engkau hayati


di kuburmu nanti


aku akan datang sebagai pemuda gagah dan tampan


yang akan membantu engkaun membela diri


dalam perjalanan ke alam akhirat


dan akulah AlQuran Kitab sucimu


yang sentiasa setia dan melindungimu


peganglah aku kembali dan bacalah aku setiap hari


kerana ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci


yang berasal dari Rabbul jalil


keluarkan segera aku dari almarimu, lacimu


letakkan aku selalu di meja kerjamu


agar engkau sentiasa mengingati Tuhanmu


sentuhlah aku kembali


bacalah aku kembali meski sebaris ayat lantaran kesibukanmu


setiap datngnya pagi, petang atau malam hari


agar hari yang kau lalui akan diberkati..,


bacalah aku kembali


kerana aku adalah Kalam Tuhanmu yang Abadi.