Wednesday, October 21, 2009

Labbaikallaahummalabbaik labbaikalaa syariikala kalabbaik

Musim haji datang lagi untuk kesekian kalinya sejak nabi Allah Ibrahim diperintah oleh Allah untuk menyeru umat manusia agar menunaikan haji. Sejak itu jutaan umat islam menyahut panggilan nabi Ibrahim untuk menunaikan haji. Terima kasih kepadamu ya Allah kerana membenarkan aku menyahut seruan nabi Ibrahim walaupun seruan itu dilafazkan ribuan tahun yang lalu.

Tanggal 28 November 2007, di malam yang dingin, aku menyusuri anak tangga Masjidil Haram menuju Baitullah diiringi getaran dan debaran yang bergelora di kalbu. Aku bagaikan bermimpi di hadapanku adalah kiblat yang kurindu selama ini. Air mataku mula luruh. Kusujud kepada-Nya dengan nurani yang kerdil.

Hari ini hatiku sering bertanya mengapa kita masih menangguh-nangguhkan urusan menunaikan fardu haji. Aku berasa tersentuh dan kecewa apabila ada orang berkata nanti tua atau pencen baru akan ke Mekah. Siapakah kita yang dapat memberi jaminan tentang usia kita? Hatiku tersentuh dan kecewa apabila ada orang berkata belum cukup wang untuk menunaikan haji. Tidak cukupkah lagi nikmat wang yang Allah beri kepada kita hingga kita mampu memiliki apa yang kita ingini? Hatiku bertambah-tambah sedih dan kecewa jika ada yang berpendirian mennaikan haji adalah agenda terakhir dalam hidup mereka. Pemahaman apakah yang membelenggu minda kita?

Kiblatmu.....
Tidakkah kau rindu padanya dan ingin meihatnya?

Baitullah....
Tidakkah kau ingin qiyam, ruku' dan bersujud di depannya?

Keislamanmu....
Tidakkah terfikir untuk menyempurnakannya?

Rasulullah.......
Tidakkah ada sedetik rasa untuk menziarahi orang yang kau selawatkan saban hari dan mengucapkan salam kepadanya?

Bukit Uhud....
Tidakkah kau ingin menjadi saksi pengorbanan para sahabat?

Jiwamu....
Tidakkah kau ingin sucikannya?

Imanmu....
Tidakkah kau ingin teguhkannya?

Pergilah...
Pergilah...
Pergilah...

Tunaikanlah haji....
Allah didahulukan
Keimanan diutamakan

Tunaikanlah haji...
Insya Allah engkau akan memahaminya!

Kepada bakal-bakal haji, selamat berangkat dan semoga mendapat haji yang mabrur kerana "Tiada Balasan Bagi Haji Yang Mabrur Kecuali Syurga"

Tuesday, October 6, 2009

Pesan Kepada Rakan

Jika mendung menutupi hari
Pasti gerimis sedang menanti
Itulah kehidupan duniawi
Tidak mampu kita jauhi
Hanya kesabaran membenteng diri
Ingatlah kita adalah hamba-Nya
Yang tiada terdaya menolaknya
Qudrat dan Iradat-Nya
Melangkaui kemahuan insani

Air mata hanyalah kesedihan
Tidak mengapa kalau ditumpahkan
Biar pahit untuk ditelan
Tetapi itulah hakikat pengembaraan
Qadha dan qadar ketetapan Tuhan
Kata Tuhan dalam Quran
: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan." (Surah Al-Ankabut: ayat 2)


Segala musibah adalah pengajaran
Menguji darjat keimanan
Kita tertanya di dalam diam
Mengapa kita menjadi pilihan
Apa salah apa kesilapan
Hingga terseksa seluruh ikatan

Cuma pesanku kepada rakan
Meski bahumu berat menggalas
Meski sedihmu tidak menghilang
Ketahuilah bahawa di hujung perjalanan
pasti ada garis kemenangan
Pesan Tuhan dalam ALQURAN
SESUNGGUHNYA BERSAMA-SAMA SUSAH ITU ADA KESENANGAN
SESUNGGUHNYA BERSAMA-SAMA SUSAH ITU ADA KESENANGAN

Pesanku kepada rakan
Inilah ketika melihat ke dalam
Renung dan fikir ke arah keinsanan
Susuri diri melihat ke belakang
Ambil pedoman menjernih perjalanan
Semoga hidup diberkati Tuhan

Pesanku kepada rakan
Ini bukan hujung perjalanan
Masih ada kerdipan bintang di malam kelam
Masih ada purnama bulan menghiasi malam
Masih ada matahari di pagi hari
Bersyukurlah kepada Tuhan
Kerana pesan Tuhan dalam Quran
KALAU KAMU BERSYUKUR, PASTI AKU TAMBAHKAN NIKMATKU KEPADAMU
TETAPI JIKA KAU KUFUR, INGATLAH AZABKU AMATLAH PEDIH.

Pesanku kepada rakan
Seperti kata orang lain
Bersabarlah…..berusahalah…..berdoalah
Semoga mendung segera berakhir
Menyerlahkan kembali mahligaimu
Seperti dahulu…
Amin.