Friday, May 14, 2010

IBLIS DAN MANUSIA

MENGAMBIL PENGAJARAN PERISTIWA PENGUSIRAN IBLIS DARI SYURGA

Perkataan Iblis (syaitan) disebut oleh Allah Taala sebanyak 88 kali dalam al Quran. Apakah signifikasinya? Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengingatkan kita bahawa Iblis adalah musuh utama kita yang sentiasa mengambil kesempatan untuk menyesatkan manusia.

Beribu-ribu tahun lamanya Iblis beribadah kepada Allah. Sehinggalah penciptaan Adam a.s. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam kerana Adam dicipta dari saripati tanah yang darjatnya lebih rendah. Iblis berbangga dengan asal-usulnya daripada api.

Iblis takbur kerana dia telah lama dicipta berbanding Adam. Iblis takbur kerana dia telah lama beribadah kepada Allah sedangkan Adam baru dicipta.

Iblis takbur kerana dia telah lama menghuni syurga berbanding Adam. Dari segala sudut, Iblis mempunyai kelebihan berbanding Adam. Jadi kenapa dia harus sujud dan menghormati Adam?

Iblis telah mencetuskan fenomena yang tidak pernah ada di syurga sebelum ini iaitu engkar, bongkak, permusuhan, dengki, kebencian dan keazaman memusnahkan musuhnya.

Sifat takbur Iblis itu akhirnya menyebabkan dia diusir dari syurga. Sebelum diusir, Iblis memohon kepada Allah beberpa perkara yang kesemuanya diizinkan oleh Allah. Antaranya ialah Iblis meminta usianya dipanjangkan hingga akhir zaman, dan memohon untuk menyesatkan manusia.

Iblis berlegar-legar dalam kehidupan manusia terutama dalam kalbu atau hati kerana hatilah yang membentuk segala tindakan manusia.

Hati yang tidak diisi dengan bacaan al Quran, hati yang tidak menangis kerana takutkan Allah, hati yang tidak menyedari tahap keinsanannya, hati yang tidak pernah berpuasa, dan hati yang tidak berdoa agar Allah memberi petunjuk dan hidayah adalah sebahagian ciri-ciri hati yang dikuasai Iblis.

Apabila Iblis merajai hati, maka terpancarlah keegoan, terzahirlah kebencian, tersingkaplah kerosakan dan tertutuplah rahmat. Lalu yang wujud hanyalah kebinasaan.

Hati perlu dipupuk, dibimbing, dan diasuh dengan istighfar dan zikir kepada Allah. Hati mesti ditundukkan dengan keinsafan bahawa siapa pun kita, taraf kita di sisi Allah kekal sebagai hamba yang tercipta Biarlah iblis dengan ketakburannya. Ingatlah, kita hanyalah saripati tanah yang hina.

No comments:

Post a Comment