Sunday, November 22, 2009

Bukti Saintifik Dalam AlQuran (5) Janji Allah Yang Benar

Janji Allah Yang Benar
Firman Allah;
"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama. Harta dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya.Dia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.Dan juga isterinya seorang pemunggah kayu api. Dilehernya sejenis tali; tali yang dipintal". ( Surah al Masad)
Ayat di atas menceritakan janji Allah bahawa Abu Lahab akan menerima siksaan yang amat pedih dalam api neraka angkara perbuatannya yang menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
Abu Lahab walaupun berstatus sebagai bapa saudara nabi tetapi tidak pernah beriman kepada Allah. Lebih dari itu, Abu Lahab sentiasa mencari jalan untuk menyakiti Rasulullah. Antaranya ialah dia berpura-pura sakit dan meminta Rasulullah menziarahinya. Sebelum itu dia telah menggali lubang yang ditutup dengan pelepah tamar agar Rasulullah terjatuh ke dalamnya apabila Rasulullah pergi ke rumahnya untuk menziarahinya yang kononnya sakit. Namun, Allah mengutuskan Jibril yang memaklumkan Rasulullah tentang niat jahat Abu Lahab yang memasang perangkap tersebut. Rasulullah lalu berpatah balik dan terselamat daripada niat jahat Abu Lahab.
Kejahatan dan kekufuran Abu Lahab diabadikan oleh Allah dalam surah di atas. Sesuatu yang perlu kita ketahui ialah ayat di atas telah diturunkan 10 tahun sebelum kematian Abu Lahab. Melalui ayat di atas, Allah telah memberi jaminan bahawa Abu Lahab akan mati dalam kufur dan akan disiksa di neraka.
10 tahun merupakan jangka masa yang lama untuk seseorang itu berubah. Namun ternyata Abu Lahab tidak berubah sebaliknya tetap memusuhi Rasulullah dan Islam. Akhirnya Abu Lahab mati dalam keadaan kufur sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah 10 tahun sebelum kematiannya. Ternyata janji Allah adalah haq dan benar!

No comments:

Post a Comment