Thursday, December 10, 2009

Bukti Saintifik Dalam Al Quran (8) Api dalam laut

Dalam Surat al Ttur ayat 1-8 Allah berfirman

" Demi gunung. Dan demi kitab yang tertulis rapi. Pada lembaran surat yang terbuka. Dan demi Baitul Makmur. Dan demi bumbung yang tinggi. Dan demi laut yang penuh/tepu dengan kepanasan. Sesungguhnya azab Tuhanmu akan tetap berlaku. Tiada sesiapa mampu menolaknya".

Ayat di atas menerangkan bagaimana Allah bersumpah bahawa kiamat pasti berlaku. Saat dan detik itu tidak akan mampu ditolak oleh manusia.

Perkara yang penting di sini ialah pada ayat yang ke-6 iaitu bagaimana Allah bersumpah dengan mengatakan "demi laut yang penuh kepanasan'. Tafsiran lain ialah "demi laut yang di dalamnya ada api". Ayat ini merujuk kepada fenomena letusan gunung berapi bawah laut.

Adalah sesuatu yang tidak rasional , tidak logik dan tidak masuk akal apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah lebih 1400 tahun yang lalu pada pandangan kaum Jahiliyyah. Mana mungkin di dalam laut ada api. Mana mungkin api dapat menyala di dalam air. Mana mungkin air laut yng sifatnya sejuk menjadi panas. Lantaran itulah kaum Jahiliyyah mendustakan ayat Allah dan mengatakan bahawa Muhamad itu hanyalah seorang penyair.

Namun janji Allah tetap benar. Kata-kata Allah tetap benar. Saintis hari ini mengakui bahawa di dalam laut sememangnya terdapat gunung berapi yang banyak. Malah jumlahnya dianggarkan lebih banyak daripada yang berada di daratan. Saintis menganggarkan terdapat 70% gunung berapi di muka bumi terletak di bawah laut merangkumi 70,00 kilometer yang diistilahkan sebagai "Ring of Fire" merangkumi Jepun, Tonga dll.

Para pengkaji gunung berapi amat sukar melihat secara langsung letusan gunung berapi bawah laut kecuali dapat melihat melalui tanda-tanda seperti air laut menjadi panas akibat bahan kimia yang terhasil, organisme laut yang mati, belerang, batu yang berterbangan dan air laut yang meledak menjadi seolah-olah awan. Letusan gunung berapi bawah laut juga turut dikesan oleh alat - alat pengesan bunyi tentera laut Amerika.

Para saintis yang dilengkapi dengan alatan teknologi yang canggih pada hari ini sekalipun masih gagal menyelam lautan dalam dan memasuki kawah gunung berapi bawah laut untuk membuat penyelidikan lanjut.

Namun anehnya, Al Quran menyatakan hal ini lebih 1400 tahun yang lalu melalui ayat ke- 6 surah di atas. Nabi Muhammad menyatakannya kepada kaum jahiliyyah lebih 1400 tahun yang lalu walaupun mereka mendustakannya pada ketika itu.

Adakah Nabi Muhammad seorang saintis? Adakah Muhammad itu seorang penyelam atau pengkaji dasar laut? Peralatan apakah yang ada pada Nabi Muhammad hingga membolehkan baginda menyatakan terdapat letusan gunung berapi bawah laut? Tidak! Semua itu adalah kalam Allah. Allah bersumpah dengan apa yang tidak diketahui manusia pada ketika itu (zaman jahiliyyah)dan apa yang baru diketahui manusia kerana AlQuran bukan hanya untuk umat 1400 tahun yang lalu tetapi juga untuk umat sepanjang zaman hingga tibanya detik penentuan.

Lhatlah klip video kejadian terbaru letusan gunung berapi bawah laut yang berlaku di Tonga pada 18 Mac 2009 untuk membuktikan secara saintifik kebenaran ayat ke-6 surah Tur di atas. Oleh itu, dekatilah alQuran untuk memimpin kita ke jalan yang benar. Marilah mengaji dan mengkaji al Quran!

No comments:

Post a Comment